Ciri-Ciri Pinjaman Pinjaman koperasi

Pinjaman koperasi di Malaysia mempunyai ciri-ciri yang berikut:

Pembayaran Balik Melalui Potongan Gaji

Pembayaran ansuran bulanan adalah melalui potongan gaji secara automatik oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). [3] Kelayakan pinjaman bergantung kepada jumlah yang dapat ditolak daripada gaji peminjam tertakluk kepada syarat had potongan gaji maksima 60%. [4] Had tersebut dikuatkuasakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memastikan gaji bersih penjawat awam adalah sekurang-kurangnya 40% daripada gaji kasar. Tempoh pinjaman maksimum adalah 10 tahun (tempoh maksimum yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia). Had maksimum pinjaman kebanyakan koperasi adalah antara RM200,000 - RM250,000.

Berlandaskan Prinsip Syariah

Kebanyakan skim pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh koperasi berlandaskan prinsip syariah. [5] Koperasi perlu memastikan operasi kemudahan kredit tersebut mengikut garis panduan SKM mengenai produk islamik. [6]Prinsip kewangan islamik yang digunakan adalah seperti Tawarruq dan Murabaha yang melibatkan pembelian dan penjualan komoditi secara ansuran atau bayaran tertunda. Melalui transaksi belian dan jualan, faedah (riba) yang dilarang (haram), digantikan dengan margin keuntungan yang dipersetujui antara pembeli dan penjual. [7]Kebanyakan koperasi mewajibkan peminjam membeli insurans takaful yang memberi perlindungan kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Dana Dari Institusi Kewangan

Koperasi menyediakan kemudahan kredit menggunakan sama ada dana mereka sendiri atau dana yang dipinjam. Oleh kerana modal atau dana sendiri adalah terhad, maka koperasi amat bergantung kepada pembiayaan yang konsisten dan berterusan daripada institusi kewangan. Bank komersil yang popular di Malaysia seperti Maybank, RHB Bank, Kuwait Finance House dan Ambank sedang atau pernah pada satu ketika menyumbang dana kepada koperasi.[8][9][10][11]

Syarat Mudah Lulus

Berbanding dengan bank, pinjaman koperasi lebih mudah lulus kerana koperasi kurang mementingkan skor kredit peminjam. Pengutipan ansuran bulanan dilakukan secara automatik melalui potongan gaji, maka risiko gagal mengutip balik dana pinjaman adalah sangat rendah. Pemohon yang telah disenarai-hitam oleh bank kerana laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Sistem Kredit Tip-Off (CTOS) yang kurang memuaskan masih layak memohon pinjaman koperasi.[12]